Friday, 19 December 2014

CARA NAK ELAKKAN GUGUP DI KHALAYAK RAMAI

Setiap orang pasti mengalami masalah bila nak bercakap depan ramai org.. wawa sendiri jugak mengalami benda yang sama.. bila berhadapan dgn org mula laa rasa gugup. 
Sebelum wawa pergi lebih jauh, wawa akan terangkan dahulu apa yang dikatakan tentang Pengucapan Awam. “Pengucapan Awam” adalah satu proses bercakap dikhalayak ramai atau bercakap dengan satu kumpulan manusia secara tersusun, dengan tujuan untuk memaklumkan sesuatu, meyakinkan atau menghiburkan pendengar. Selain itu ia juga boleh digunakan untuk memotivasikan manusia, menyampaikan ilmu dan berkongsi cerita. Seseorang yang mengamalkan Pengucapan Awam yang baik, bukan sekadar mampu menyampaikan maklumat dengan baik tetapi juga mampu untuk mengubah emosi para pendengarnya.
Namun tidak semua orang boleh membuat Pengucapan Awam dengan baik. Jadi dibawah ini saya kongsikan sedikit ilmu yang saya tahu mengenai Cara Mengatasi Masalah Darah Gemuruh Semasa Membuat Pengucapan Awam.
Bertenang & Yakin Diri
Motivasikan diri, yakinkan diri dan belajar untuk disiplinkan diri. Latih diri untuk sentiasa berfikiran positif. Jangan suka melihat kelemahan sendiri sebaliknya sentiasa melihat kelebihan diri. Perasaan gemuruh akan lebih meningkat sekiranya kita cuba untuk melawannya. Maka kita perlulah menerima dengan tenang agar badan kita mampu memberi respon untuk buat yang terbaik. Dengan ini kita akan dapat mengawal perasaan dengan lebih baik.
Ambil Wudhuk dan Berselawat
Dengan berwudhuk kita dapat menenangkan hati dan fikiran. Banyakkan juga berselawat dan berniat agar kita tidak dihinggapi dengan masalah darah gemuruh.
Amalkan Doa sebelum Membuat Pengucapan Awam
Amalkan Doa Nabi Musa AS…
Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku. Dan mudahkanlah bagiku, tugasku. Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku…
(Surah Taha : 25 -27 )
Beranikan Diri
Salah satu sebab kita berasa gemuruh adalah kerana kita takut untuk melakukan kesalahan. Maka, katakan pada diri kita bahawa kita berani menanggung apa saja kesalahan yang berlaku. Tanamkan sifat berani dan bertanggungjawab dan buang jauh-jauh rasa takut untuk melakukan kesalahan.
teknik pengucapan awam
Buat Persediaan
Untuk membuat persediaan, kita perlu tahu apa itu Teknik Pengucapan Awam. Bermula dari pemilihan tajuk Pengucapan Awam yang hendak dibentangkan, sedikit kajian siapa pendengar dan latar belakang pendengar untuk memudahkan kita membuat pendekatan agar apa yang cuba untuk kita sampaikan nanti sesuai dengan peringkat kefahaman para pendengar.  Bagi membolehkan kita untuk mengawal keadaan, pilihlah tajuk pengucapan yang mudah untuk kita kuasai atau sesuai dengan kepakaran kita. Pastikan kita mempunyai maklumat baru yang boleh kita kongsikan kepada para pendengar.
Sediakan teks ucapan sebagai latihan untuk kita berucap. Selitkan sedikit humor didalam pengucapan agar para pendengar tidak mudah bosan. Pengucapan Awam yang dibuat perlulah ada kata-kata aluan, isi-isi kandungan dan kata penutup. Tekankan pada isi-isi penting kandungan semasa berucap. Contohnya, “Persoalan pertama yang ingin saya kupas adalah…” Ini membolehkan pengucapan yang dibuat kelihatan lebih teratur. Selain itu para pendengar juga akan dapat menangkap apa yang cuba kita sampaikan.
Banyakkan membaca dan membuat kajian tentang apa yang akan kita bentangkan. Ianya boleh membantu kita untuk mengurangkan masalah kekeringan idea semasa berucap. Sediakan juga kad-kad kecil yang bertulis kata kunci untuk pengucapan kita. Ianya membantu kita untuk mengingati apa yang perlu kita huraikan didalam pengucapan. Selain itu mahirkan juga dengan intonasi suara semasa berucap. Tandakan pada teks uacapan yang kita buat dimana ayat-ayat yang perlu ditekankan dengan intonasi suara yang tinggi.
Latih Berucap
Sesudah membuat teks ucapan dan membuat kajian, apa yang perlu kita buat adalah berlatih berucap. Kita boleh memilih untuk belajar berucap seorang diri dihadapan cermin atau berlatih dihadapan rakan-rakan kita. Dengan berlatih dihadapan rakan-rakan sendiri, ia akan melatih diri kita untuk berucap dihadapan sebilangan orang. Sambil itu, rakan-rakan juga boleh menegur apa yang bagus atau apa yang perlu kita perbaiki lagi semasa membuat Pengucapan Awam.
Secara tidak langsung ia akan mengurangkan masalah gemuruh semasa kita membuat Pengucapan Awam yang sebenar. Dimana, sekiranya masih ada perasaan gemuruh semasa hendak berucap, kita boleh larikan mata kita dengan memandang rakan-rakan kita yang sudah biasa mendengar kita berlatih berucap. Dengan itu kita tidak akan berasa gugup untuk berucap.
Tetapi sekiranya anda tidak mempunyai rakan-rakan yang boleh membantu anda berlatih seperti yang saya terangkan tadi, tidak salah sekiranya anda mengikuti kursus atau menyertai Kelab Pidato Perdana bagi mengasah diri agar lebih berkeyakinan untuk membuat Pengucapan Awam. Ini kerana kita memerlukan suasana yang sebenar untuk melatih diri untuk lebih fasih dan yakin didalam melakukanPengucapan Awam. Berbanding kita membuat latihan dihadapan cermin, ia tidak akan membantu kita untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada diri kita kerana cermin tidak mampu untuk bersuara menegur kita.
Baiklah, cukup setakat ini sahaja ilmu yang dapat saya kongsikan. Rasanya ini pun sudah panjang lebar juga huraian yang telah saya buat mengenai Cara Mengatasi Masalah Darah Gemuruh Semasa Pengucapan Awam. Semoga ianya dapat menjadi rujukan bagi sesiapa yang memerlukan.
Bagi mereka yang benar-benar serious memerlukan latihan untuk memahirkan diri didalam Pengucapan Awam, jangan lupa untuk menyertai Kelab Pidato Perdana. Semoga ianya dapat membantu.